Monday

Kerajaan Prihatin Pembangunan Sekolah Agama Rakyat

GUA MUSANG 17 Okt. – Peruntukan RM95 juta dalam Bajet 2011 kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negara bukti keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan agama di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu digunakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur dan kemudahan sekolah jenis itu.

Beliau menjelaskan, ia diberi secara khusus kepada SAR dan diasingkan daripada peruntukan sekolah bantuan modal kerajaan yang menerima RM250 juta dalam bajet tersebut.

“Dengan peruntukan RM95 juta, ini bermakna kerajaan tidak meminggirkan SAR.

“Peruntukan tersebut boleh diperoleh dengan SAR terlibat memohon Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui selepas menemui guru dan pentadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Petra 2, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, semua SAR digalakkan mendaftar dengan kementerian untuk disenaraikan sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekali gus setaraf dengan sekolah bantuan modal di bawah kerajaan.

“Dengan status SABK secara tidak langsung, guru terlibat menikmati skim lebih baik dan berpencen manakala sekolah berkenaan menerima lebih banyak peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

Mengenai SAR di Kelantan, Mohd. Puad berkata, setakat ini 22 sekolah jenis itu sudah bertukar kepada status SABK.

No comments:

Post a Comment