Saturday

ADUN Kerdau meninggal dunia

TEMERLOH 12 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Pahang, Datuk Zaharuddin Abu Kassim meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, petang tadi.
Zaharuddin, 63, sebelum itu dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya di Kerdau, dekat sini.
Allahyarham sebelum ini pernah menerima rawatan di Institut Jantung negara (IJN) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh akibat komplikasi penyakit. - Utusan

Wednesday

KHALID IBRAHIM PATUT LETAK JAWATAN - TPM

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Jan. - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewajarnya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor setelah usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tidak diluluskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usul tersebut bukan sahaja tidak sepatutnya dibawa ke sidang DUN bahkan menimbulkan suasana kurang selesa masyarakat kerana terlalu banyak perkara yang dipolitikkan oleh pakatan pembangkang.

Katanya, sidang DUN itu diadakan hanya kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru walaupun mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kenapa mesti bawa isu pelantikan SUK itu ke sidang DUN, kalau sudah kalah (usul ditolak) dia mesti meletakkan jawatan, keadaan sekarang ini semakin bercempera," katanya ketika menjawab soalan pada sesi dialog sempena majlis makan malam bersama kira-kira 250 rakyat Malaysia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini malam ini.

Sebelum itu, seorang jemputan menyentuh tentang pelbagai perkara yang dipolitikkan di Malaysia sehingga menyebabkan suasana dalam negara dilihat sebagai 'panas'.

Muhyiddin mengakui, suasana politik sekarang memang terlalu panas kerana banyak sangat perkara yang dipolitikkan oleh pakatan pembangkang termasuk pelantikan SUK.
Katanya, kerajaan negeri di bawah pembangkang sepatutnya mengetepikan soal politik dan memberi tumpuan perkhidmatan kepada rakyat. - Utusan

MALAYSIA LEBIH DEMOKRATIK

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang lebih demokratik berbanding Singapura berdasarkan kelebihan hak kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini.

Menurutnya, keadaan itu boleh diperhatikan melalui amalan parti pemerintah negara republik tersebut iaitu PAP yang akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana rakyatnya yang didapati tidak menyokong kerajaan.

Jelas beliau, keadaan itu amat berbeza dengan negara ini yang menyaksikan parti-parti politik tempatan lebih takut kehilangan sokongan rakyat sekiranya mereka bertindak tegas untuk mendisiplinkan masyarakat.

"Parti pemerintah Singapura tidak takut kepada rakyat. Jika rakyat pilih bukan calon PAP, dia akan diheret ke mahkamah, didenda dan dijadikan bankrap.

"Selepas itu dia tidak dapat ke Parlimen untuk membantah perlakuan pemerintah. Jika dia dibenar mengambil tempat di Parlimen, dia tidak akan berani berkata apa-apa," katanya dalam entri bertajuk 'Kaum Melayu Singapura' di http://chedet.co. cc/chedetblog/ hari ini.
Dr. Mahathir dilihat memberikan reaksi terhadap surat pembaca 'Utusan Malaysia' yang menasihatkan bekas Perdana Menteri itu supaya melihat hakikat kehidupan Melayu Singapura di kawasan Geylang Serai di republik itu.

Dalam ruangan Forum semalam, pembaca yang menggelarkan dirinya 'Tan Malaka' antara lain menulis:
"Mahathir tidak seharusnya hanya berinteraksi dengan orang Melayu Singapura hanya di kawasan Orchard Road tetapi juga harus sesekali pergi ke bawah, ke Geylang Serai umpamanya untuk melihat hakikat kehidupan rakyat biasa Melayu Singapura.
"Kita harus menerima hakikat bahawa keadaan mereka (Melayu Singapura) lebih teratur dan lebih baik dari dahulu. Mereka berniaga di gerai-gerai di Geylang Serai dalam keadaan yang selesa dan jauh lebih bersih dan teratur berbanding Kampung Baru di Kuala Lumpur."

Dr. Mahathir menegaskan, disiplin yang ada dalam masyarakat Singapura sebenarnya timbul akibat takut kepada kerajaan Singapura yang kurang demokratik serta menafikan hak kebebasan mereka untuk bersuara.

"Sesungguhnya keadaan di Singapura amat mengagumkan sesetengah daripada kita di Malaysia. Apa tidak, masalah Kampung Baru dapat diselesaikan dengan mudah.
"Pindahkan sahaja penduduk Kampung Baru, dan bangunkan rumah pangsa yang akan diduduki oleh sesiapa sahaja. Seperti hilangnya Geylang dan Pasir Panjang akan hilanglah Kampung Baru," jelasnya.

Monday

PINDAAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI SELANGOR GAGAL


SHAH ALAM: Pindaan Fasal 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang dibentangkan, hari ini tidak dapat dibacakan bagi bacaan kedua dan seterusnya. Berdasarkan kiraan, 34 bersetuju, manakala 20 tidak bersetuju.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 kerusi tetapi Speaker, Datuk Teng Chian Kim tidak boleh mengundi.

Bagi membolehkan pindaan itu diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu mendapatkan dua pertiga undi iaitu sebanyak 37 undi daripada jumlah keseluruhan ahli dewan.